KUCHING, 7 Disember 2025 : Kerajaan Sarawak menambah peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk tahun 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Openg berkata, peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan dana UNIFOR meningkat kepada RM120 juta.
Tambah beliau lagi, penambahan dana tersebut bagi menyokong pembangunan rumah ibadat dan sekolah mubaligh di wilayah ini termasuk penyediaan kemudahan pendidikan kepada generasi muda.
Ketika berucap pada Majlis Apresiasi UNIFOR 2025 di Kuching malam ini tadi, Abang Johari berkata " (Datuk Amar Douglas Uggah Embas) berbisik kepada saya, memandangkan kita mempunyai peruntukan kewangan, bolehkah kita menambahkan dana itu untuk tahun 2026? Jadi, saya katakan boleh, kita tambah lagi RM10 juta,”.
Abang Johari berkata, sejak penubuhannya pada 2017, UNIFOR secara konsisten menerima peruntukan tahunan bagi membiayai pembinaan dan pembaikan rumah ibadat pelbagai agama di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan Sarawak pimpinan GPS dalam memastikan keharmonian antara agama bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan inisiatif inklusif dan menyeluruh.
“UNIFOR merupakan satu-satunya agensi tetap seumpamanya di Malaysia yang mencerminkan komitmen mendalam Kerajaan GPS terhadap keterangkuman, keadilan dan saling menghormati,” kata beliau.
Hadir sama di majlis malam tadi adalah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Pengarah UNIFOR Datu Georgina Apphia Ngau serta dif kenamaan lain.